Saturday, 13 July 2013

Baitul muslim??


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, kali ini ana diberi kekuatan untuk menulis dan berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang dipinjamkan oleh Allah, untuk dimanfaatkan bersama. Sememangnya dalam sabda baginda Rasulullah s.a.w: “Yang paling baik di antara kamu ada yang bermanfaat kepada orang lain”

Insya Allah hari ini, ana akan berkongsi satu tajuk yang agak berat tetapi ianya berlegar di masyarakat kita terutama di kalangan mereka yang berpegang teguh dengan agama Islam dan beramal dengannya.(khasnya dalam diri ana sendiri.. huhu)

Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menjadikan Islam itu sebagai ad-Din atau dalam bahasa mudahnya, cara hidup. Dalam firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya ad-Din (cara hidup) di sisi Allah adalah Islam”. Dalam hal ini, seharusnya kita beramal dan hidup dengan cara Islam kerana tidak dapat dinafikan bahawa Islam itu merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Sebagai seorang Muslim juga, hidup kita ini terbahagi kepada empat peringkat iaitu:

i.    Fardhu Muslim (Individu Muslim)
ii  Baitul Muslim (Keluarga/Rumahtangga Muslim)
iii. Mujtama’ Muslim (Masyarakat Muslim)
iv. Daulah Muslim (Negara Muslim)

Kempat-empat tingkatan hidup ini perlu di dalam diri seorang muslim. Timbul persoalan sekiranya ianya tidak mengikuti langkah dalam tingkatan tersebut, apakah dibolehkan. Seperti contoh, tingkatan yang kedua dilangkau dan terus kepada tingkatan ketiga. Ianya bergantung kepada individu tersebut. Namun, dalam entri kali ini tidak memfokuskan perbincangan kepada tingkatan hidup seorang muslim.


Baitul Muslim

Baitul Muslim merupakan satu istilah yang merujuk kepada pembinaan keluarga atau rumahtangga Islam. Perkataan ini diambil secara langsung dari Bahasa Arab iaitu Bait al-Muslim yang bermaksud rumah orang Islam. Baitul Muslim menggariskan beberapa kriteria dalam membentuk sebuat keluarga dan rumahtangga yang berdasarkan Islam itu sendiri.

Baitul Muslim sangat mementingkan dan menekankan perhubungan di antara pasangan atau lebih dikenali dengan istilah ikhtilat, iaitu batas dalam pergaulan. Oleh itu, Baitul Muslim ini seiringan dengan adanya orang tengah sebagai penghubung antara kedua-dua insan ini.


 Mengapa perlunya orang tengah?

Seharusnya, apabila dua orang insan, muslimin dan muslimat atau lelaki dan perempuan, ingin berbicara atau berbincang berkenaan perkara yang membabitkan masalah hati perlunya ada orang tengah. Kerana sabda Rasulullah s.a.w : Tidak berdua-duan lelaki dan perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Orang tengah merupakan satu entiti yang memudahkan proses-proses yang akan dilaksanakan sepanjang ke arah membina Baitul Muslim.

Orang tengah yang dilantik ini mestilah mempunyai beberapa kriteria yang membolehkannya untuk menjadi orang tengah. Antaranya:

- Amanah – terutamanya dalam menjaga kerahsiaan antara kedua-dua individu
- Dipercayai – dalam aspek menegur sekiranya kedua-duanya melampaui batas
- Baik akhlaknya dan teguh imannya
- Pandai memberi nasihat dan seorang yang senang dalam memberi pendapat.
- Yang sudah bekeluarga( berkahwin)


Implikasi sekiranya tiada orang tengah.

Walaupun ‘melantik’ orang tengah ini kelihatan seperti remeh dan menyusahkan, namun implikasi terhadap ketiadaan orang tengah dalam menguruskan dua insan yang berlainan jantina dalam masalah hati amatlah besar.

Dengan adanya orang tengah, maka segala aktiviti-aktiviti yang berlandaskan nafsu seperti contoh ingin makan bersama dengan pasangan, akan dapat dielakkan. Tidak dinafikan, ada yang mengatakan bahawa orang tengah ini tidak perlu kerana kita mampu untuk menahan diri sendiri. Akan tetapi, sejauh dan selama manakah kita mampu untuk menahan diri kita? Apakah hati kita tidak akan terdetik rasa untuk menghantar mesej bertanyakan khabar si dia secara peribadi? Apakah kita mampu untuk menghalang diri, hati dan minda kita daripada merindui si dia? Kalau kita yakin 100% mampu untuk tidak mengalami sebarang masalah rindu, maka bolehlah kita mengatakan bahawa orang tengah ini tidak perlu. Namun, sebagai seorang muslim di akhir zaman kita perlu mengakui kelemahan dan kedhaifan diri kita.


Penekanan

Ada beberapa perkara yang ditekankan dalam Baitul Muslim secara umumnya. Perkara ini akan dihuraikan dalam bentuk situasi supaya mudah untuk difahami, inshaAllah.

Merisik

Dalam hal ini, mengambil contoh seorang lelaki atau muslimin berkenan kepada seorang perempuan atau muslimat, muslimin tersebut perlu menggunakan orang tengah dalam bertanyakan keadaan pada pihak muslimat. Pihak muslimin boleh bertanyakan kepada pihak muslimat berkenaan keadaan dirinya, apakah sudah berpunya atau belum melalui orang tengah tersebut. Sekiranya pihak muslimat mengatakan bahawa dia belum berpunya, maka orang tengah yang telah dilantik sebelumnya perlu menyedari bahawa kedua-dua insan yang diamanahkan kepadanya akan melalui peringkat seterusnya.

Berkenalan

Di dalam Islam, tidak ada istilah yang dikatakan couple. Yang dibolehkan di dalam Islam adalah kita berkenal-kenalan sekiranya kita berkenan terhadap seseorang. Dalam konteks masyarakat sekarang, ianya lebih dikenali sebagai bertunang.

Dalam peringkat ini, kedua-dua individu dibolehkan untuk bertanya soalan-soalan yang berkaitan dengan diri masing-masing, sebagai contoh hal-hal yang berkaitan dengan keluarga, diri mahupun pekerjaan.

Dalam hal ini juga, peranan orang tengah amat diperlukan untuk mengelak sebarang persoalan dan perbualan yang melampaui batas.

Peringkat berkenal-kenalan ini mungkin mengambil masa sedikit kerana ianya diselangi dengan istikharah dan istisyarah iaitu pergantungan kepada Allah dalam membuat keputusan dan perbincangan sesama manusia berkenaan dengan keputusan yang akan dipilih. Dinasihatkan dalam membuat keputusan, hendaklah sabar dan jangan terburu-buru supaya keputusan yang akan diambil kelak tidak memakan diri.

Nikah

Sekiranya kedua-dua insan tersebut telah bersetuju untuk menjadikan diri masing-masing sebagai pasangan hidup, maka peringkat seterusnya adalah nikah. Islam tidak menggalakkan penganutnya untuk berkenalan atau bertunang dengan lebih lama kerana dikhuatiri akan adanya masalah hati yang lebih berat ataupun tidak sampai kepada nikah.

Di peringkat ini, perlunya kedua-dua insan berbincang dengan keluarga masing-masing. Orang tengah hanya membantu sekiranya kedua-dua pihak memerlukan nasihat dalam menangani keluarga kerana di peringkat ini, kedua-dua individu akan lebih banyak meluangkan masa bersama dengan keluraga masing-masing.


Isu di sekitar BM

Dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Wanita dinikahi karena empat perkara, karena hartanya, karena martabatnya, karena kecantikannya, dan karena agamanya, maka hendaklah engkau mendapatkan wanita yang baik agamanya”
Maka daripada hadis ini jugalah timbulnya beberapa isu yang berlegar di sekitar Baitul Muslim.
 
            Perigi mencari timba

Istilah ini merupakan istilah yang timbul dalam adat Melayu yang sehingga kini masih lagi digunakan oleh beberapa orang yang sangat berpegang dengan adat. Memang di dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa “wanita itu dinikahi”, namun hadis ini boleh juga dipraktikkan oleh kaum Hawa untuk merisik ataupun melamar kaum Adam kerana hanya mereka yang tahu berkenaan dengan diri mereka. Namun, 4 ciri-ciri yang dinyatakan di atas tetap menjadi garis pandu dalam memilih pasangan.

Sekiranya istilah ini masih digunapakai sehingga ke hari ini dan masa depan, maka akan berlaku satu masalah yang melibatkan kaum Hawa iaitu lambakan wanita. Hal ini kerana, fitrah manusia sukakan kecantikan dan hampir kesemua kaum Adam pada hari ini hanya melihat yang cantik melebih agamanya, walaupun tidak semuanya sedemikian.

Lantas, seorang wanita juga boleh memilih seorang lelaki untuk dijadikan teman hidupnya. Persoalan yang mungkin timbul adalah berkaitan dengan kekurangan kaum Adam pada akhir zaman ini.


Memilih pasangan
Dalam hal ini, amatlah berat sekiranya kita meletakkan kecantikan luaran sebagai kriteria calon yang pertama. Berdasarkan pengalaman, ramai yang memilih kecantikan melebihi agama, meskipun kedua-duanya orang yang kuat agamanya. Seperti contoh, seorang lelaki akan terus berkenan kepada seorang wanita yang tidak kenali dan pertama kali dilihat olehnya, ditambah lagi dengan keayuan dan kecantikannya, meskipun lelaki tersebut merupakan seorang yang kuat ilmu agamanya. Memang, fitrah manusia sukakan kecantikan kerana Allah juga sukakan kecantikan. Tetapi, apakah sebelumnya kita juga menjumpai dan bersosial secara tidak langsung dengan wanita lain yang kuat agamanya tetapi tidak menyedari ‘kecantikan’ agamanya malah terus berkenan dengan wanita yang lebih cantik? Semua itu, tepuk dada tanya iman masing-masing.


Demikianlah tadi beberapa perkongsian yang ana rasakan belum cukup untuk menjelaskan Baitul Muslim secara lebih mendalam, mungkin kerana masih lagi kekurangan ilmu ataupun belum diizinkan oleh Allah s.w.t. Akan tetapi, perkongsian ini diharapkan boleh memberi manfaat kepada pembaca.

nasihat kepada para pembaca yang dari pelbagai generasi dan nasihat utk diri ini khasnya,,

-   Janganlah diadakan cinta sebelum adanya pernikahan, kerana cinta selepas nikah itu tersangat manis dan nikmat, melebih adanya cinta sebelum nikah.

-    Bentengilah diri dengan iman dan taqwa yang mendalam kepada Allah s.w.t kerana hanya dengan iman dan taqwa kepadaNya sahajalah yang mampu menyelamatkan kita dari godaan serta bisikan syaitan dan hawa nafsu.

-    Kepada pembaca yang sedang ‘ber-couple’ diharapkan supaya berhenti ataupun terus mengikat diri masing-masing dengan perhubungan yang sah.

-  Kepada para ibu bapa, sekiranya anak-anak anda meluahkan hasratnya untuk berkahwin, janganlah dimarahi akan tetapi mereka perlu diberi panduan supaya mereka faham akan erti perkahwinan tersebut. Sekiranya mereka mampu untuk menganggung segala ujian dalam perkahwinan meskipun mereka masih menuntut di menara gading, maka sokong dan bantulah mereka dalam membuat keputusan kerana perlu kita sedari bahawa dunia zaman sekarang amat kejam.

-   Bernikah di usia muda berkemungkinan boleh menjadi salah atau betul. Ianya salah sekiranya semuanya serba tidak kena. Sebagai contoh, tidak mampu untuk menanggung isteri, tiada perancangan yang rapi dan kemas dalam menghadapi hidup di alam rumahtangga. Dan ianya boleh menjadi betul sekiranya segala persiapan untuk menghadapi ujian yang bakal menimpa telahpun disusun dan disediakan dengan rapi dan kemas, diiringi dengan perbincangan bersama dengan kedua ibu bapa.

-    Perkahwinan bukanlah untuk sehari dua, akan tetapi sehingga ke hembusan nafas yang terakhir, bukan pula untuk memenuhi kehendak nafsu semata, akan tetapi merupakan satu ibadat kepada Allah.

Semoga bermanfaat kepada semua. Sebarang kekurangan atau kesalahan dalam entri ini amatlah dikesali lantaran kurangnya ilmu.

Apa yang baik semuanya dari Allah, yang lemah dari diri yang hina ini. Hakikatnya kedua-duanya dari Allah s.w.t.

**credit to abg SK, 
**kpd bakal zauj ku (jodoh yang xdiketahui), harap enta juga salah seorg yang membaca entri ini.. =) 

~ teruslah menyebarkan wangian islam dimanapun kalian berada~

No comments:

Post a Comment